WAJAH disolek mengikut kesesuaian watak yang dilakonkan tanpa suara namun mampu menghidupkan jalan cerita, sekali gus menghiburkan penonton.
Mungkin persembahan mime ini agak asing bagi sesetengah orang kerana ia belum diketengahkan sepenuhnya walaupun wujud beberapa kumpulan mime di negara ini.
Walaupun seni persembahan mime bertapak di Malaysia sejak 1990-an, namun ia seolah-olah tidak pernah berkembang.
Bagi menghidupkan persembahan mime, pensyarah di Universiti Teknologi Petronas (UTP), Prof Madya Dr Shamsul Rahman Mohamed Kutty menubuhkan kumpulan mime, Tronoh Theatre Shop (TTS) Mimers yang dianggotai pelajar UTP.
TTS adalah satu kumpulan produksi teater di UTP yang mencungkil bakat baru dalam bidang teater dan diasaskan oleh Dr Shamsul.
Katanya, persembahan mime sama seperti teater biasa, namun yang membezakannya adalah ia dilakonkan tanpa suara, sebaliknya hanya menggunakan mimik muka dan pergerakan badan.
"Memang sukar untuk mempersembahkan mime kerana setiap perlakuan dan pergerakan perlu diperjelaskan bagi memudahkan penonton memahami jalan cerita.
"Setiap penonton mempunyai tahap penaakulan berbeza dan mungkin ada penonton memahami sketsa kami dan ada juga yang tidak faham. Ia satu cabaran kepada pelakon mime," katanya.
Dr Shamsul Rahman atau lebih dikenali sebagai Dr Shark di kalangan pelajarnya berkata, mime tidak memerlukan peralatan atau perhiasan pentas yang keterlaluan kerana kekuatan persembahan itu terletak pada pelakonnya.
"Setiap pelakon mime memikul tanggungjawab besar kerana mereka perlu melakonkan watak sebaik mungkin di samping segala pergerakan dan lenggok badan juga perlu lebih 'mendalam'.
"Sesetengah persembahan mime menggunakan suara, namun secara minimum kerana ia sekadar menjadikan lakonan lebih berkesan," katanya yang juga pensyarah Fakulti Kejuruteraan Awam di UTP.
Beliau menimba ilmu dan pengalaman mengenai mime dan teater ketika melanjutkan pengajian di peringkat doktor falsafah di Amerika Syarikat.
Katanya, seni mime masih dianggap 'hijau' di negara ini, namun ia bertapak sejak sekian lama di negara Barat.
Menurutnya, TTS Mimers lazimnya mengadakan persembahan sebelum atau selepas pementasan sesebuah teater sebagai sketsa selingan.
Katanya, bukan mudah untuk mengajar dan menerapkan seni mime dalam diri pelajar kerana bukan semua orang mempunyai bakat pelawak.
"Semuanya banyak bergantung kepada bakat serta kebolehan seseorang. Malah daya kreativiti diperlukan supaya mesej persembahan disampaikan dengan berkesan.
"Untuk melatih seseorang mahir dalam persembahan mime memerlukan masa lama dan berperingkat, namun yang penting minat mesti ada," katanya.
Menurutnya, dia memberi kebebasan sepenuhnya kepada pelajar untuk menentukan tema dan tajuk persembahan mime yang akan diadakan.
Katanya, pada mulanya dia akan melatih dan memberi tajuk persembahan namun apabila pelajarnya mampu bergerak sendiri, dia memberi mereka peluang meluahkan idea.
Menurutnya, sesetengah orang mengaitkan persembahan mime dengan aksi badut, namun ia adalah dua aktiviti berbeza.
"Biasanya badut melebih-lebihkan pergerakan dan mimik muka. Wajah mereka juga akan disolek dengan pelbagai warna bagi menimbulkan elemen kelakar.
"Berbeza dengan mime, wajah pelakon hanya disolek sekadar untuk menjelaskan mimik muka dan segala pergerakan perlu dilatih terlebih dulu," katanya.
Buat masa ini persembahan TTS Mimers hanya tertumpu di dalam UTP dan mengikuti jelajah teater TTS di merata tempat.
"Saya merancang memperkenalkan TTS Mimers kepada masyarakat dengan mengadakan persembahan di luar UTP supaya mereka dapat bergerak jauh," katanya ketika ditemui di pementasan teater Tuah Hang Jebat di Taman Budaya baru-baru ini.
Teater berkenaan menceritakan mengenai Hang Tuah dilantik menjadi hulubalang istana selepas berjaya menyelamatkan Datuk Bendahara.
Namun pelantikannya menimbulkan rasa tidak puas hati Datuk Patih Karma Wijaya, seterusnya mengatur rancangan untuk menjatuhkan Hang Tuah.
Hang Tuah dijatuhkan hukuman mati selepas difitnah cuba memikat Permaisuri Melaka, Tun Teja. Kematian Hang Tuah membuatkan adiknya, Hang Jebat menuntut bela di atas kematiannya, seterusnya menimbulkan beberapa peristiwa berdarah.
NAMA: Mohd Hafiz Jalaluddin
UMUR: 22 tahun
ASAL: Pontian, Johor
PENDIDIKAN: Sarjana Muda Pengurusan Maklumat Perniagaan, Universiti Teknologi Petronas (tahun akhir)
UNIK dan mempesonakan. Itu yang dapat disimpulkan oleh anak muda ini mengenai seni mime diceburinya.
Katanya, seperti orang lain, sebelum ini dia tidak tahu apa itu mime, apatah lagi melihat persembahan lawak bisu itu.
"Saya menyertai TTS kerana ingin terbabit dalam pementasan teater, namun Dr Shark memberi peluang untuk saya mencuba melakonkan mime.
"Dari situ minat saya timbul kerana saya berasa seni lakonan ini sesuatu yang mencabar dan menarik. Sehingga kini saya hanya fokus kepada persembahan mime," katanya.
Baginya, persembahan mime sama dengan teater, cuma yang membezakannya hanya daripada segi penggunaan suara.
"Tidak wajar jika ada pihak memperkecilkan kebolehan kami kerana lakonan mime lebih mencabar," katanya.
NAMA: Asyraf Nazmie Abdul Halim
UMUR: 21 tahun
ASAL: Batu Gajah, Perak
PENDIDIKAN: Sarjana Muda Pengurusan Maklumat Perniagaan, Universiti Teknologi Petronas (tahun ketiga)
"BUKAN mudah buat orang ketawa dan itu cabaran bagi saya untuk mempersembahkan lakonan lawak yang tidak menggunakan suara," katanya.
Menurutnya, dia perlu memperincikan segala pergerakan dan pada masa sama mempamerkan mimik muka seiring dengan situasi ketika persembahan.
"Pada mulanya sukar melakonkan mime tetapi atas tunjuk ajar Dr Shark, saya kini mampu mempersembahkannya," katanya.
Persembahan mime bukan bersifat lawak semata-mata, sebaliknya menerapkan mesej dan elemen positif dalam setiap persembahan.
"Saya banyak menonton persembahan mime pelakon mime di negara Barat untuk dijadikan panduan bagi memantapkan lakonan saya," katanya.
NAMA: Ammar Asyraf Amran
UMUR: 18 tahun
ASAL: Gurun, Kedah
PENDIDIKAN: Sarjana Muda Pengurusan Maklumat Perniagaan, Universiti Teknologi Petronas (tahun pertama)
DIA mula jatuh cinta dengan seni persembahan mime ketika mengendalikan peralatan untuk pementasan teater TTS.
Dari situ dia menyaksikan setiap persembahan mime dengan penuh minat hinggalah memberanikan diri untuk menyertai TTS Mimers.
Katanya, dia mengakui mempunyai sifat humor namun ia susah dilakukan tanpa menggunakan suara.
"Mungkin mudah untuk mempersembahkan sketsa lawak dengan menggunakan suara, namun sukar jika mempersembahkan lawak bisu kerana penonton mungkin tidak faham apa yang cuba kami sampaikan.
"Saya banyak menerima tunjuk ajar daripada pensyarah dan juga senior bagaimana mempersembahkan mime yang terbaik," katanya
-Petikan dari Harian Metro-
p/s:aku dah menyaksikan sendiri persembahan mereka.Sungguh menakjubkan dan menghiburkan walaupun tanpa ada pertolongan dari sebarang peralatan.
0 comments:
Post a Comment